- HOME - IKUTI BLOG INI - FACEBOOK

Assalamualaikum...

Kehidupan ini bagaikan satu putaran yang sentiasa bergerak, umpama matahari dan bulan. adakalahnya kita merasakan panas dan adakalanya kita merasakan dinginnya malam. Bahangan mentari itu mampu membuatkan kita teguh berdiri dengan kaki yang kian lenguh. Dingin malam pula akan memberikan kita kesegaran malam dalam menghadapi dugaan disiang hari. Banyak dugaan dalam kehidupan, oleh itu setiap dugaan yang kita lalui memerlukan setiap ketelitian dan langkahan yang berhati-hati. Biar kita melangkah meninggalkan keseronokan dunia demi untuk kebaikan alam abadi.Insya-Allah.
Md Asrul

Create your badge

Isnin, 5 April 2010

Cerpen: Dalam Doa Sulaiman

Sulaiman Diwan merupakan seorang Mahasiswa MA, Universiti Al Azhar, Kaherah dalam Fakulti Usuluddin, Jurusan Hadith. Beliau merupakan junior kepada Ustaz Haji Dhwalan Sierenajo yang berasal dari Bogor, Indonesia dan kini menjadi penceramah bebas di Malaysia. Dari tahun pertama hingga tahun terakhir, dia masih lagi mencari makna erti cinta dalam kehidupan sebenarnya. Syurga cinta yang diidamkan dari Ilahi mungkin belum sampai ke bisikan telinga.


Bukan itu sahaja, dia semakin tertekan apabila rakan-rakan baiknya semua sudah mempunyai pacar, tetapi dia belum lagi mempunyai pacar. ”Adakah cinta untukku, ya Tuhan” itulah ungkapan yang sering dibisikan di sudut jauh yang terdalam. Ada cinta tetapi tidak dihargai, malah dicurangi. Ada cinta tetapi tidak disayangi, malah dimarahi dan dibenci. Tapi bagi Sulaiman, cinta yang diharapkan belum jua tiba meskipun dia seorang lelaki yang sempurna dan kacak.


Sulaiman memandang tepat ke arah luar jendela sambil menunggu seruan azan. Hatinya sudah berhenti berdesir dengan kata cinta. Tiada lagi cinta kepada seorang wanita kepadanya. Hari demi hari ditunggu cinta sejati namun tiada yang datang kepadanya. Usianya telah dimakan tahun, dia bukan lagi seorang remaja yang lincah, dan mempunyai kecerdasan sebagai remaja biasa, tetapi dia seorang remaja yang meningkat usia yang hampir matang. Dalam usia 34 tahun, masih belum ada yang bertakhta di hati.


“Mungkinkah aku cerewet dan memilih dalam soal jodoh?” desas desus yang tidak pernah surut dalam kotak pemikirannya.

“Aaa....tidaklah. aku bukan seorang yang memilih dalam mencari pasangan hidup. Mungkin ini bukan masanya untuk aku berjodoh. Jika ini takdirku, akanku tunggu” benak Sulaiman untuk memujuk hatinya yang semakin berkecamuk.


Senja nan petang kian berlabuh tirainya, begitulah keadaan Sulaiman yang boleh dianalogikan. Entah, susah terlalu penat hati ini memikirkan soal jodoh. Mungkin itu yang sering dibicarakan oleh Sulaiman. Matanya tepat memandang ke luar jendela sambil menyaksikan keindahan senja cipataan Tuhan.


“Allahuakhbar Allahuakhbar...” laungan Imam Hashim mengumandangkan azan membuatkan lamunan Sulaiman kian terhenti.


Dia bangkit dari sedarnya lalu mengambil wuduk dan bersolat. Hatinya kian punah dan musnah sebaik sahaja memikirkan soal jodoh. Baginya jodoh itu ada, tapi belum tibanya. Dia teringat kisah yang diceritakan Imam Haji Ghani kepadanya sewaktu dia mengikuti berdakwah di Medan, Indonesia.


Ada satu cerita seorang gadis yang telah kehilangan orang tuanya pada hari pernikahannya. Majlis akad nikahnya terpaksa dibatalkan atas alasan mahu menguruskan jenazah orang tuanya. Dalam saat yang sangat sedih, si bakal suami menuruti kata-kata bakal isterinya, dia menuruti untuk menangguhkan majlis pernikahan mereka. Hari berganti hari, minggu berganti minggu malah berbulan-bulan lamanya, hati si bakal isteri masih lagi belum mengungkapkan ingin meneruskan majlis akad nikah tersebut sehingga si bakal isteri itu jatuh sakit kerana tidak makan selama beberapa hari. Beberapa bulan setelah itu, si bakal isteri menyusuli orang tuanya. Si bakal suami terseksa dengan dugaan yang berat yang ditanggung. Dari majlis akad nikahnya ditangguhkan sehingga bakal isterinya meninggal dunia. Dalam keadaan sedih, si suami dijodohkan dengan seorang wanita solehah yang lain.


Benar kata Imam Haji Ghani, jodoh pertemuan semuanya ditanganNya. Apabila mengingatkan kesedihan dirinya yang belum bernikah, dia pasti akan mengingatkan cerita itu. Patah tumbuh akan berganti, tetapi baginya kisah ini berlainan. Bagaimana bisa tumbuh jika tidak ada yang patah. Dia hanya membiarkan desas desus itu berlalu begitu sahaja dan terus bersolat.


* * *

Jam tepat menunjukkan pukul 3.37 pagi. Sulaiman terus bangkit dan duduk sebentar di atas katil. Dia tidak lagi terus bangkit, kulitnya kian dingin. Tulang temulang mencengkam erat daging-dagingnya. Lalu ditarik tirai jendela kamarnya, terlihat rintik-rintik hujan yang turun perlahan. Sulaiman menghela nafas panjang, dingin awal pagi itu membuatkan kadang kala tengkuknya tegang tidak semena-mena.


Lantas, digerakkan kakiknya dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Dari membasuh tangan hingga ke kaki, air wuduk diambil. Lantas, Sulaiman berdoa kepada Ilahi agar dipertemukan jodoh untuknya. Dibidangkan tangannya lalu ditakbir kalimah Allah, dari situlah dia menunaikan solat sunat hajat setelah jasadnya tertegak berdiri menghadap kiblat.


Dalam solatnya, hatinya bercampur baur. Terasa kesyahduan dan keinsafan dengan kesalahan yang dilakukan. Air mata mula menakung dilekuk mata sambil bibirnya bertasbih ayat-ayat suci al-Quran. Selesai solat, pipinya jelas menampakkan basah. Dihengus sedikit lelehan air hidung akibat tangisan yang ditahan. Lalu ditadah tangan memohon doa.


”Ya Allah ya rabbi. Kau Tuhan pencipta alam yang maha berkuasa dan tiada tolok bandingnya. Aku bermohon ampun dan maaf atas segala kesalahan yang telah aku lakukan. Ampunkan juga dosa-dosa kedua ibu bapaku. Berikanlah mereka keselamatan di alam sana. Ya allah, aku sedar, setiap yang kau ciptakan pasti akan berpasangan. Dan aku akan akur untuk itu. Jika benar pasanganku belum lagi ada, aku akan sabar menanti biarpun nyawaku kau ambil. Kini, cintaku hanyalah untukMu, berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi dugaanMu. Berkatilah hidupku dan berilah aku petunjuk dan hidayahMu. Amin, ya rabbalalamin...” air mata terus menitis.


Sulaiman bangkit dari solatnya, lalu dia melihat satu sudut rak-rak buku. Terlihat buku-buka tafsir yang dihadiahkan oleh ayahnya, Haji Imran sewaktu beliau menunaikah haji kali ketiga 3 tahun sebelum kematiannya. Haji Imran seorang imam yang paling disenangi oleh penduduk kampung. Setiap masalah yang dihadapi penduduk kampung terutamanya berkaitan fardu ain dalam agama Islam. Selain itu, terlihat kitab-kita Subulus Salam karya Imam asy-Syan’ani yang merupakan lanjutan dan penerangan kepada kitab Bulughul Maram yang disusun oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani yang diberikan oleh Ustaz Haji Dhwalan Sierenajo yang dibawa jauh khas dari Pontianak, Kalimantan. Terdapat juga beberapa kitab tafsir yang diberikan oleh rakan ayahnya, Malinjo Haji Kilolo seorang ulama terkenal di Yokjakarta dan juga merupakan pelajar pintar kelahiran universiti Al Azhar sekitar tahun 1980-an. Di samping itu, terdapat juga kitab Tafsir Jalalain dan kitab al-Hikam yang menjadi pelengkap kepada kitab Subulus Salam yang dibelinya melalui orang tengah di salah sebuah kedai kitab-kitab Islam terkenal di Kajang.


Mata Sulaiman terus melirik ke satu buku hitam, iaitu buku catatan hariannya. Lalu dibuka muka surat terakhir dan ditatap catatan terakhirnya yang bertarikh 2 April 2010, iaitu beberapa bulan yang lalu. Sebaik sahaja melihat catatan tersebut, hati Sulaiman terus luntur. Dia melihat, satu lakaran dan catatan tujuan hidupnya. Dalam catatan tersebut terdapat 4 cabang utama tujuannya hidup. Yang terakhir belum lagi dilaksanakan iaitu jodoh. Lalu dikatup buku tersebut dan menghela nafas panjang. Mungkin ini belum jodohnya.

Sebelum tidur, Sulaiman tersenyum sebaik sahaja teringat kisah perbualannya dengan atuknya, Haji Meor Ja’afar Meor Daud.

”Atuk kenapa mak dan ayah namakan man dengan nama Sulaiman? Kawan-kawan ada yang mengejek katanya nama man tu dah ketinggalan zaman,” ujar Sulaiman.

”Mari sini cucu atuk. Duduk dekat dengan atuk,” Sulaiman yang duduk beberapa meter dari atuknya mula mengheret punggungnya dan duduk bersebelahan dengan Haji Meor Ja’afar.

”Man tahu tak, Sulaiman tu salah seorang nabi yang wajib kita ketahui. Nabi Sulaiman adalah salah seorang putera Nabi Daud. Sejak dia masih kanak-kanak berusia sebelas tahun, dia sudah menampakkan tanda-tanda kecerdasan, ketajaman otak, kepandaian berfikir serta ketelitian di dalam mempertimbangkan dan mengambil sesuatu keputusan,”

”Maksud atuk, mak dan ayah namakan nama Sulaiman kepada man supaya man sebijak nabi Sulaiman. Macam tu?” Tanya Sulaiman.

”InsyaAllah cu. Dengan izinNya. Bukan itu sahaja, man nak dengar kisah nabi Sulaiman dengan seekor semut?”

”Seekor semut? Nak...nak”

Si atuk pun menceritakan kisah nabi Sulaiman kepada Sulaiman.


”Kerajaan Nabi Sulaiman AS dikala itu sedang mengalami musim kering yang begitu panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh ummatnya untuk dimintai pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah SWT agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka. Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri dari bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdo'a memohon kepada Allah SWT agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun. Sesampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdo'a memohon kepada Allah SWT penunai segala hajat seluruh makhluk-Nya. "Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku", do'a sang semut kepada Allah SWT. Mendengar do'a si semut maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata pada mereka, "kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut". Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.” Cerita panjang haji meor ja’afar.


”Atuk, kalau kita minta apa-apa daripada Tuhan, Tuhan akan kabulkan doa kita ke?” tanya Sulaiman.

”InsyaAllah cu. Tuhan tu maha pemurah. Tengok sahaja dengan doa nabi Sulaiman, Allah memenuhi doa umatnya yang soleh. Jadi cucu mesti jadi budak baik dan jangan tinggal solat supaya semua doa-doa cu, didengar oleh Allah.” Jelas Haji meeor ja’afar.


Sulaiman tersenyum sipu sebaik mengingatkan memori silam sewaktu bersama dengan datuknya. Ada benarnya juga, dia mesti berdoa agar doanya didengar oleh Allah.


* * *


Pagi yang hening, pagi jumaat yang indah saat itulah pagi yang membawa berkah dan banyak membawa rahmat. Hari bagi segala penghulu dan doa yang dimakbulkan olehNya, InsaAllah. Sulaiman berjalan kaki seorang diri pergi ke rumah jiranya, Wan Salmi dan Wan Salmuni, pasangan kembar yang menjadi rakan baiknya sejak kecil lagi. Wan Salmuni menjadi setiausaha penting kepada salah sebuah syarikat yang paling berpengaruh di ibu kota. manakala Wan Salmi menjadi tenaga pakar di Hospital Mersing dan kini merupakan pelajar master jurusan ornitologi. Sebagai kakak kepada Salmi, Salmuni rasa hairan dengan sikap adiknya kerana mengambil jurusan yang berlainan daripada bidang pekerjaannya. Bila ditanya mengapa mengambil dalam bidang Ortologi jawapanya jelas dan ringkas ”kerana aku suka dengan burung dan ingin mengkaji burung” Kata gadis cantik dan ayu yang pernah menaruh hati kepada Sulaiman namun dipendam di dalam hati kerana sedar cintanya bertepuk sebelah tangan.


”Assalamualaikum...” salam Sulaiman sebaik sahaja berdiri di muka pintu rumah Mak Tam, iaitu ibu kepada Salmi dan Salmuni.

Tiada balasan dan jawapan yang didengar. Sulaiman melihat keadaan sekeliling. Dilihat kereta Salmuni masih lagi ditempat parkirnya. Dilihat sepatu, selipar dan kasut anak-anak kecil mungkin anak Salmuni ada dimuka pintu namun tiada seorang pun bernyahut. Sulaiman berasa hairan lalu dia menjenguk ke dalam dari luar jendela yang berjaring.

”Waalaikumusalam...” tiba-tiba satu suara terus menerpa Sulaiman dari belakang.


Sulaiman terus memaling dan terkejut, wajah yang tidak dijangka akan muncul di hadapannya. Bukan wajah Mak Tam, Salmi mahupun Salmuni, tetapi wajah ayu yang belum pernah dikenalinya. Sulaiman hanya terkaku kelu dan malu lalu beredar pergi tanpa berkata apa-apa. Pipinya merah dan kurang selesa berdua-dua dengan perempuan yang belum dikenalinya.


Gadis yang perkaian baju kurung berbelang biru cair itu hanya mampu memandang. Dia mula memandang dari jauh setelah kelibat Sulaiman bergegas menuju ke luar halaman rumah. dari jauh, Sulaiman mula berpaling melihat kelibat gadis itu. Gadis itu masih memandang ke arah Sulaiman lalu Sulaiman memalingkan mukanya kembali. Malunya kian menebal dan meneruskan perjalanan.


”Balqis, siapa yang datang tadi tu?” dengan tidak semena-mena datang satu suara dari dalam rumah.

”Oh, kak muni. Entah, ada seorang lelaki datang sini tapi lepas tu dia pergi tanpa kata apa-apa, qis hairan” jawab Balqis Qistina seorang anak tokoh korporat yang terkemuka di Kuala Lumpur, iaitu Tan Sri Borhanuddin Finer Syah yang memiliki rangkaian perniagaan di seluruh malaysia.

”Lelaki? Mungkinkah Sulaiman?” benak Salmuni.

”Lelaki tu macam mana qis? Adakah dia tinggi? Kulitnya putih dan badannya tegap?” tanya Salmuni.

”ya kak, itulah orangnya.”

”Kalau macam tu, itulah Sulaiman yang akak pernah ceritakan kepada Balqis dulu.”

”Itu ke orangnya? Tidak sangka kak. Indah rupa dari khabar.”


Balqis tersenyum sipu dan mula menaruh hati kepada Sulaiman. Inilah yang dinamakan cinta pandangan pertama. Tetapi benarkah Sulaiman untuk Balqis atau itu semua hanya indah dipermulaannya sahaja. Belum sampai kemuncak cerita, semuanya jadi berantakan. Itu bukan cinta namanya, jika cinta hingga ke jinjang pelamin dan seterusnya hidup hingga ke akhir hayat. Semuanya ditentukan oleh maha kuasa. Balqis mendiam membisu lalu beredar masuk ke dalam rumah.


Sulaiman yang malu terus balik ke rumah. Sulaiman tidak boleh melupakan wajah Balqis yang dilihatnya tadi. Saat hendak melelapkan mata, ada sahaja bayangan Balqis di ingatannya, saat ingin makan, ada senyuman Balqis diingatan Sulaiman. Sulaiman terus mengambil wuduk dan melakukan solat sunat. Memohon ampun kerana telah berzina. Berzina? Adakah Sulaiman telah melakukan zina?


“Ya Allah, ampunkanlah aku kerana aku telah melakukan zina. Aku berdosa dan aku khilaf ya Allah. Aku alpa dengan kecantikan dan kejadian kau. Ampunkan aku ya Allah” Berulang-ulang kali Sulaiman mengucapkan kalimat itu sehingga dia terlelap.


Sulaiman terasa dirinya sangat berdosa kerana melakukan zina mata pada hari jumaat. Dia tidak mahu lagi pergi ke rumah Salmuni takut akan terlihat Balqis sekali lagi. Setelah selesai solat subuh, seperti biasa rutin harian Sulaiman mengaji al-Quran dan kemudian tepat jam 7.00 pagi dia akan pergi ke kedai Mak Tam untuk bersarapan. Semenjak kematian kedua orang tuanya 3 tahun yang lalu, tempat kedai Mak Tamlah yang menjadi dapur dan pengisi perut Sulaiman.

”Assalamualikum, apa khabar ustaz?” tanya Pak Tam.

“Waalaikumusalam, baik-baik aja. Alhamdulilah dengan berkat dan doanya.”

“Semalam Salmuni ada cakap dengan saya, ustaz ada datang di rumah tetapi lepas tu ustaz terus balik.” Tanya Pak Tam untuk mendapatkan kepastian cerita yang diberikan oleh Salmuni.

“Ya Pak Tam. Semalam saya memang ada ke rumah Pak Tam tetapi saya terlihat satu wanita di sana dan terus saya pulang ke rumah. Saya memberi salam tidak ada yang menyahut, tetapi ada wanita itu di luar rumah terus saya pulang ke rumah kerana khuatir ada mata yang melihat dan mulut yang menabur fitnah.”

“Begitukah ceritanya. Maaf ustaz, semalam semasa ustaz datang ke rumah, saya dan keluarga saya sedang melakukan solat Asar.”

“Tak apa-apa”

“Sebelum kita berbual panjang lebar, ustaz nak minum apa? Makan apa?” tanya Pak Tam.

”Berikan saya teh ’o’ kurang manis dan nasi lemak satu” pesan Sulaiman. Pak Tam terus masuk ke dalam kedai dan menyiapkan pesanan Sulaiman.


Beberapa minit setelah itu, pesanan Sulaiman terhidang di hadapannya. Tetapi bukan Pak Tam atau Mak Tam yang menghidangkan tetapi Balqis, gadis yang dijumpanya semalam. Sulaiman terus terkejut dan sekali lagi kaku. Ingin dia beredar pergi tetapi dia seolah-olah terpaku di bumi. Sulaiman terpaksa duduk di atas kerusi itu dan mengalihkan penglihatannya ke arah lain. Dia tidak mahu memandang ke arah Balqis. Mungkin nanti Balqis akan menganggap dirinya seorang yang sombong. Namun, Sulaiman tidak hiraukan semua itu, dia hanya terus melihat ke arah sekeliling tanpa melihat kelibat wanita yang tidak dikenalinya menuju ke arahnya.


Balqis membawa dulang yang berisi teh ’o’ dan nasi lemak. Dengan berpakaian lengkap menutup aurat membuatkan Sulaiman bertambah tertarik. Balqis bukan sahaja cantik dari luar, tetapi insyaAllah cantik di dalam. Dari gayanya dia serorang yang bersopan santun. Tetapi siapakah sebenarnya Balqis? selama ini dia tidak pernah melihat kelibat Balqis di rumah Pak Tam atau di kedainya. Dalam keadaan hairan, perlahan-lahan Sulaiman menghabiskan sarapanya.


Dalam pada itu, datang Salmuni mendekatinya dari depan. Sulaiman hanya mampu tersenyum.

”Assalamualaikum, sahabatku” tanya Salmuni

”Walaikumusalam, dengan izin Allah” balas Sulaiman.

”Semalam kenapa pulang cepat? Muni tengah solat.”

”Maaf, man ada kerja sebab tu kena cepat. Muni balik kampung seorang aja ke? Mana Azmi?”

”Ya balik seorang. Muni balik sekejap je mungkin seminggu dua. Muni temankan anak bos muni jalan-jalan. Katanya nak hidup di suasana kampung.”

”Anak bos? Jadi perempuan yang tadi hidangkan makanan tu anak bos muni lah ya? Kenapa biarkan dia buat kerja?”

”Dia ni pelik sikit. Walapun anak tan sri, tapi dia seorang yang merendah diri dan tidak membanggakan kekayaan kedua orang tuanya. Baginya itu hanyalah harta dunia. Dia ingin menikmati alam ciptaan Tuhan ini. Sebab tu dia nak datang ke kampung dan merasai kehidupan suasana kampung.”

”ooo...macam tu. Muni, man kena beredar pergi. Ada kerja yang perlu dilakukan. Nanti man akan contact murni lagi. Muni ada nombor man lagi kan?” soal Sulaiman. Salmuni hanya menangguk-anggukkan kepalanya.

Sulaiman mengeluarkan beberapa wang kertas satu ringgit dan meletakkannya di atas meja lalu beredar pergi. Salmuni hanya tersenyum melihat kelakukan Sulaiman. Salmuni masih lagi duduk di atas kerusi, lalu datang pula Balqis ke arah Salmuni.

”Itu Sulaiman yang akak maksudkan ya?” tanya Balqis

”Ya qis, itulah dia. kenapa? Suka ke?” usik Salmuni. Balqis hanya tersenyum malu.

”Kalau mahu apa salahnya. Lagipun dia bujang, umur pun dah cukup matang untuk berkahwin.”

”Umur dia berapa kak?”

”Sama dengan akak. 34 tahun”

”Jauhnya dari Balqis. Beza umur kami 10 tahun kak. Tapi dia tak makan dek usia. Nampak muda lagi”

”Dia jaga pemakanan dan selalu bersenam. Kalau qis nak tahu, walaupun dia ustaz, dia seorang atlet negeri dalam sukan berkayak. Tengoklah badannya. Tapi, sampai sekarang belum berumah tangga. Mungkin belum ada jodoh”

”Belum ada jodoh? Perempuan gila yang tak suka dengan dia. Dia tu kacak, pandai bergaya, ustaz lagi, insyaAllah ada jodohnya tu.”

”Qis ingat kisah tentang nabi Sulaiman?”

”Ingat. Kenapa kak?”


”Kisah nabi Sulaiman dengan ratu Balqis semuanya bermula dengan burung Hud-hud. Burung hud-hud hinggap di depan Sulaiman sambil menundukkan kepala ketakutan lalu berkata "Aku telah melakukan penerbangan pengintaian dan menemukan sesuatu yang sangat penting untuk diketahui oleh paduka Tuan. Aku telah menemukan sebuah kerajaan yang besar dan mewah di negeri Saba yang dikuasai dan diperintah oleh seorang ratu. Aku melihat seorang ratu itu duduk di atas sebuah tahta yang megah bertaburkan permata yang berkilauan. Aku melihat ratu dan rakyatnya tidak mengenal Tuhan Pencipta alam semesta yang telah mengurniakan mereka kenikmatan dan kebahagian hidup. Mereka tidak menyembah dan sujud kepada-Nya, tetapi kepada matahari. Mereka bersujud kepadanya dikala terbit dan terbenam. Mereka telah disesatkan oleh syaitan dari jalan yang lurus dan benar." Daripada pengintaian itulah nabi Sulaiman bertemu dengan ratu Balqis. Kisah kamu ini persis dengan nabi Sulaiman dan ratu Balqis, dia datang kepada kamu dan kamu jatuh cinta kepadanya. Semua ini adalah takdir qis.” Jelas Salmuni. Balqis hanya mampu tersenyum.


Petang itu, diperkarangan rumah Salmuni terlihat dua buah kereta besar terparkir di hadapan rumahnya. Ramai penduduk kampung yang lalu lalang hairan dengan kehadiran tetamu yang tidak dikenali penduduk kampung. Begitu juga berlaku kepada Sulaiman tetapi Sulaiman seakan-akan kenal akan nombor pendaftaran kereta tersebut tetapi tidak diketahuinya.


Setelah dikenal pasti, rupa-rupanya Tan Sri Borhanuddin Finer Syah dan isterinya, Puan Sri Umu Khaltum datang menjenguk anak tunggalnya tinggal bersama setiausahanya, Wan Salmuni di kampungnya. Tindakan Balqis untuk tinggal dikampung memang sangat digalakkan oleh orang tuanya Balqis kerana dengan cara ini dapat mengajar Balqis cara hidup yang sebenarnya. Kehidupan yang dilaluinya selama ini hanya dipenuhi dengan kemewahan dan kekayaan. Keselesan hidup tidak untuk selama-lamanya, lantas sebaik sahaja mendengar hasrat Balqis untuk merasakan kehidupan di kampung, terus dicadangan kampung Wan Salmuni.


Wan Salmuni pernah menceritakan tentang keadaan kampungnya kepada Tan Sri Borhanuddin Finer Syah. Mendengar sahaja cerita Wan Salmuni membuatkan beliau ingin pergi ke kampung setiausahanya itu. Ini adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki di kampung Wan Salmuni atas alasan ingin menjenguk anak tunggalnya Balqis.


”Alhamdulilah, sampai juga papa di kampung ini.”

”Qis macam mana? Sihat ke? Sudah semunggu qis duduk di kampung ini. bolehkah qis biasakan diri?” Tanya Tan Sri Borhanuddin Finer Syah.

”Awak ni, anak kita dah besar. Mesti dia boleh sesuaikan di tempat orang” celah Puan Sri Umu Khaltum.

”Ma, pa, qis ok je. Jangan bimbangkan qis. Qis sudah pandai biasakan diri. Untung ada kak Salmuni. Dia banyak bantu qis biasakan diri. Pak Tam dan Mak Tam pun terlalu baik. Qis beruntung tinggal di sini.”

“Baguslah kalau begitu. Papa bukan apa, Cuma risaukan qis takut-takut tidak boleh sesuaikan diri dengan keadaan kampung. Kalau panas, di rumah boleh pasang air cond. Tapi kat sini tak boleh. Kalau boring boleh pergi jalan-jalan kat bandar.” Sinis Tan Sri Borhanuddin Finer Syah.

”Hai papa, nak perli qis ke? Qis dah biasa semua tu, tak kisah sangat. Lagi pun, panas dunia bukan apa sangat. Qis akan berusaha menjadi insan yang sederhana di sini. InsyaAllah. Mohon restunya.”


Azan Zuhur mula berkumandang dan memecah alam yang sunyi dengan keriuhan aktiviti manusia. Celah ruang rumah Mak Tam membuatkan azan itu semakin kuat kedengaran. Tan Sri Borhanuddin Finer Syah terpegun dengan kelunakan suara yang mengazankannya. Tanpa membuang masa mereka semua terus menuju ke masjid. Teringat akan satu sabda yang menyatakan, jika seseorang terdengar azan tetapi tidak pergi menuju dan solat di masjid, solat yang akan didirikan hanya sia-sia.


Lalu dengan lantas, seluruh isi rumah menuju ke arah masjid dengan harapan dapat menunaikan suruhan Ilahi. Kebetulan pada masa itu ada satu ceramah singkat yang disampaikan secara bergilir-gilir oleh ahli masjid.

Sulaiman yang sentiasa bersolat di masjid hadir seperti biasa. Dia melihat kereta yang terparkir di hadapan rumah Mak Tam, kini terparkir di hadapan masjid. Dia mula hairan dan membiarkan kehairananya berlalu begitu sahaja. Selesai solat, dibaca tahlil ringkas dan bermulalah satu ceramah ringkas. Kebetulan ketika itu giliran Ustaz Sulaiman, seorang ustaz muda satu-satunya di kampung itu. Sulaiman mengambil tempat di hadapan jemaah sambil membacakan beberapa surah suci al-Quran dan bertasbih sebelum memulakan inti cermahnya.


“Assalamaualaikum, bersyukur kita kerana memberi ruang dan waktu, memberikan kita bernafas untuk menghadiri majlis ilmu pada hari ini. Ingatlah, kita ini hanya pinjaman dan bila-bila sahaja kita ini akan dijemputnya. Ini ceramah saya ini berkaitan dengan cinta, sungguh saya tidak pernah jatuh cinta selain daripada Allah dan kedua orang tua yang telah pergi menemuiNya. Saya masih lagi mencari cinta sehingga sekarang ini. Tapi itu bukanlah inti ceramah saya...” Ujar Sulaiman sambil tergelak. Jemaah yang hadir juga turut menguntumkan senyuman termasuk Tan Sri Borhanuddin Finer Syah, Puan Sri Umu Khaltum, Mak Tam, Pak Tam dan Balqis. Balqis hanya memadang Sulaiman dengan pandangan yang penuh erti. Tan Sri Borhanuddin Finer Syah pula memandang Sulaiman seperti mengenali anak muda itu. Tetapi kerap dia memikirkan siapa pemuda yang pernah dijumpainya, namun gagal.


Sulaiman meneruskan inti ceramahnya

“Baiklah, kita teruskan berkaitan cinta. Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya." Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu." Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah." Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ. Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahwa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung” Para jemaah mendengar penuh dengan tekun dan semakin menarik cerita yang disampaikan oleh Sulaiman.


”Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai saja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit. Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya." Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu, iaitu orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia, orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia inginmendapat sanjungan dari manusia dan orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima, iaitu mereka cinta kepada dunia tetapi mereka lupa kepada akhirat, mereka cinta kepada harta benda tetapi mereka lupa kepada hisab, mereka cinta kepada makhluk tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq, mereka cinta kepada dosa tetapi mereka lupa untuk bertaubat dan mereka cinta kepada gedung-gedung mewah tetapi mereka lupa kepada kubur." Sambungnya dengan panjang lebar.


Setelah selesai ceramah ringkas itu, Tan Sri Borhanuddin Finer Syah mula teringat di mana dia berjumpa dengan Sulaiman. Dia terus menuju ke arah Sulaiman untuk mendapatkan kepastian.

”Assalamualaikum...” Salam Tan Sri Borhanuddin Finer Syah.

”Waalaikumusalam, ya saya. Boleh saya bantu” Jawab Sulaiman.

”Anak muda, kamu tidak mengenali saya?”

”Maaf, jika benar kita pernah berkenalan atau berjumpa, saya tidak ingat. Di mana ya?”

”Awak telah selamatkan saya dalam kejadian 3 tahun yang lepas. Ingat lagi tak?”

”Kemalangan 3 tahun lepas?” Benak Sulaiman.


Dia baru teringat akan lelaki yang berada di hadapannya. Kemalangan tiga tahun lepas yang mengakibatkan kematian kedua orang tuanya. Masih terbayang-bayang bagaimana ibu dan bapanya terbakar di depan mata. Kejadiannya bermula apabila dua buah kereta bertembung dan terherat lalu terguling-guling di atas jalan raya. Sulaiman berjaya keluar daripada kereta yang telah terbalik, dengan badan yang penuh kesakitan dan darah. Dia cuba menyelamatkan kedua orang tuanya, tetapi sebaik memeriksa dengupan nadi, ternyata ibu dan bapanya telah meninggal dunia.


Sulaiman menangis, dia cuba sedaya upaya mengeluarkan ibu dan ayahnya yang tidak lagi bernyawa. Dalam masa yang sama, dia terdengar suara dari kereta yang bertembung dengannya. Suara itu meminta pertolongan supaya dikeluarkan dari kereta. Sulaiman bangkit dalam keadaan yang tidak terdaya dan memaksa sedaya upaya menyelamatkan lelaki yang tersepit di dalam kenderaan. Sulaiman bergerak meninggalkan mayat ibu bapanya untuk menyelamatkan lelaki itu.


Sulaiman menarik sekuat hati sehingga berjaya. Tetapi, beberapa saat setelah menyelamatkan lelaki tua itu, kereta ayahnya meletup dan terbakar. Sulaiman dan lelaki itu terkejut. Sulaiman berusaha menuju ke arah kereta ayahnya, namun dihalang oleh lelaki itu kerana terlalu bahaya. Sulaiman tidak terdaya melihat mayat ibu bapanya terbakar hangus di depan matanya lalu pengsan.


Sesedar Sulaiman dari pengsannya, dia berada di hospital. Tanpa bertanyakan keadaan lelaki itu, dia terus pulang ke kampung tanpa meminta pamitan. Dia terus dengan menguruskan mayat kedua-dua orang tuanya. Lelaki itu tidak diketahuinya dari hari itu sampai hari ini apabila ada lelaki yang mengaku bahawa lelaki itu adalah Tan Sri Borhanuddin Finer Syah. Memang tidak salah lagi, lelaki itu adalah Tan Sri Borhanuddin Finer Syah.

”Allahuakhbar...maha besar Allah. Apa khabar pak cik? Sungguh kecil dunia ini
Sulaiman sedikit terkejut.


”Memang kecil. Pak cik sudah hampir 3 tahun mencari Sulaiman di seluruh negara. Pak cik ingin membalas jasa dan terhutang nyawa kerana telah menyelamatkan pak cik 3 tahun lepas. Pak cik serba salah kerana membiarkan awak macam itu.”

”Tak apa pak cik, saya ok je. InsyAllah. Ni pak cik kat sini ada apa? Saya tak pernah melihat pak ci sini.”

”Sebenarnya saya menjenguk anak saya yang mula menyesuaikan di kampung ini. Anak saya itu namanya Balqis. Balqis mari sini nak” Ujar Tan Sri Borhanuddin Finer Syah. Balqis bergerak menuju ke arah Sulaiman.

”Ingat tak kisah kemalangan 3 tahun yang dulu, yang pernah ayah ceritakan.”

”Ingat, kenapa ayah?”

”Lelaki yang telah selamatkan ayah itu ada di sini”

”kat sini? Mana?”

”Tu, Ustaz yang beri kita ceramah tadi” jawab Balqis.

”Maksud papa, Sulaiman?”


Tan Sri Borhanuddin Finer Syah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Tan Sri Borhanuddin Finer Syah menceritakan nazarnya, dia akan mencari lelaki yang telah menyelamatkannya dan berjanji akan mengahwinkan lelaki itu dengan anak perempuannya. Sekarang, lelaki itu telah berjumpa, lelaki itu adalah Ustaz Sulaiman. Sebaik mendengar nama Ustaz Sulaiman, Balqis terus mengukirkan senyuman.


”Sulaiman, ini pak cik perkenalkan. Ini adalah anak pak cik, namanya Balqis Qistina.” Tan Sri Borhanuddin Finer Syah memperkenalkan puteri tunggalnya kepada lelaki yang pernah menyelamatkannya. Sulaiman membuat isyarat bersalaman dengan Balqis, begitu juga Balqis membalasnya.


”Saya sudah kenal dengan anak pak cik, Cuma belum berkesempatan untuk berbual panjang.” Jelas Sulaiman. Balqis hanya mampu tersenyum malu.

”Man, boleh penuhi permintaan pak cik?”

”Permintaan apa pak cik?”

”Pak cik dah berniat, jika kita berjumpa lagi pak cik ingin menjodohkan kamu dengan Balqis. Adakah kamu bersetuju?”


Sulaiman tergamam. Balqis hanya tersenyum gembira dengan keputusan papanya. Yang lain juga turut tersenyum seolah-olah merestui hubungan itu. ”Ya Allah, maha suci Allah. Adakah ini benar memang jodohku? Terlalu istimewa insan yang Kau ciptakan untukku. Dia hampir sempurana. Baru ku sedar hikmah semua ini.” benak Sulaiman.


”Man, man, setuju tak?” Tan Sri Borhanuddin Finer Syah ingin mendapatkan kepastian. Sulaiman hanya mampu mengangguk-anggukkan kepalanya sambil menitiskan air mata. Lalu dia membuat sujud syukur.

”Terima kasih Ya Allah kerana kau penuhi doaku. Terima kasih” Ucap Sulaiman sambil menadah tangan. Balqis turut menitiskan air mata, dia sebenarnya memang menaruh hati kepada Sulaiman sejak pertama kali berjumpa. Cuma kelu lidah untuk mengungkapkan kata cinta.


Tangisan kesyukuran mula membasahi pipi Sulaiman. Jodohnya dengan Balqis, kerjayanya sebagai pendakwah dan guru agama semakin dikembangkan. Mereka berdakwah secara kerap dan hidup dengan aman damai. Kebahagian, kesuasahan, kesedihan dan segala-galanya datang dari Allah s.w.t untuk menguji kita sebagai umatnya. Sabar dan tetap bersabar, semuannya pasti ada hikmahnya.

Read more..!

Indah Islam Kerana Iman


Assalamualaikum

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Translate this page from Malaysian to the following language!

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Widget edited by Anang

AsRuL @ YaGaMi LaiTo Search

Blog-blog aku :

AsRuL & YaGaMi LaiTo

Indah Islam Kerana Iman

Muzik Itu Duniaku


Blogger Help Templates Widgets SEO Tips
Blogger Help Templates Widgets SEO Tips


Blogger Trick
Blogger Trick


Blog Catalog
Mens Blogs - BlogCatalog Blog Directory

Doa Penerang Hati Memulakan Bacaan

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Clicky Web Analytics Clicky